Dia, masihkah mahu marah
“We can build our dungeons in the air
And sit and cry the blues
We can stomp across the world
With nails hammered through our shoes
We can join that troubled chorus
Who criticise and accuse
It don’t matter much
We got nothing much to lose
But this wonderful life
If you can find it
And when you find it
It’s a wonderful life that you bring
It’s a wonderful, wonderful,wonderful thing.”
(dari album Nocturama, nyanyi Nick Cave and the Bad Seeds, 2003)
(i)
September merah itu
Telah engkau padamkan apinya
Dengan tangis berjampi air simpati
Dari serak dan esak
perempuan muda, ibu tua, gadis ayu
Remaja sopan,
emak dan anak
laku dan tingkahnya
adalah rangkap-rangkap santun berpantun
serta
bait-bait lemak bersajak
.
[Jika dapat kubertemu dengan hidup yang indah, yang terlalu indah, ahhh meranum ia merkah, manis merah dan hatiku mekar kehilangan resah dan megah. Kalaulah, kutemukan hidup yang cukup indah itu, alangkah indahnya.]
tApi simpati memang sewajarnya diberi.
[Mencari keindahan, jadilah apa saja yang tak membawa murka pada jelata. Jadilah aktivis kalau mahu. Berjuang, mogok lapar atau berpiket, diskusi dan berkempen, sekadar menyertai demontrasi aman hentikan perang saja atau sepenuh masa menentang, kritik, fatwa dan dakwa – Jakim atau Sisters in Islam; A.P atau Ayah Pin; kerajaan langit atau bumi; reformasi atau revolusi; revolusioner atau reaksioner; akademia dan intelektual; seniman dan sastrawan; hadhari atau madani; Khairy atau Nori; Pak Lah atau Najib; Anwar atau Mahathir; ISA atau DDA; rasuah atau dadah; NGO atau NGI; SB atau MI; CIA atau ISD; mukhabarat atau keparat; bond atau bon; minyak dan modal; cetak atau maya; saham dan simpanan; kilang dan pertanian; Ezam atau Azmin; IKD atau ODC; Zionis atau Neo-con; fundamental atau liberal; suaram atau suhakam; menteri dan pegawai tinggi; orang bawah dan martabat rendah; Prodem atau UBU; D.I.Y atau subsidi beli dan beli dan hutang dan kerja membelah kepala dan kerja sampai ke tua menghamba dan berbelanja, pengguna ketagihan rugi; BN atau BA; United Malay National Organization atau Pan-Malaysia Islamic Party; sakit atau mental; punk atau metal; rock atau folk; blues atau emo; keadilan atau kezaliman;
desak dan mintak semua hak-hak yang dipijak, janji-janji yang retak, pecah bertaburan mimpi-mimpi berkacai. Tuduh dan suruh, kita amuk seluruh yang kejam. Aper ada hal kan? Alang-alang hitam biar legam segala kelam.]
(ii)
Meski bukan kerana janji
Sumpah yang engkau tak akan mati
Atau patah hanya kerana dengki berburu.
tApi
pembelaan memang sewajarnya dihulur
kerana ini bukan kenduri makan atau pesta tuak perlu dijemput
tanpa diminta
tangan harus menggenggam semangat
kerana
september itu terlalu kejam dengan;
hitam
mata
lebam
terhina
teraniaya
tertindas
dipukul
hak dipijak
kemanusiaan diberak
serakah menyalak
tamaknya kesombongan memasang angan-angan
menongkat langit
agar jangan meruntuhkan kebusukan
engkaupun rebah
benar tak bererti kalah
yang salahnya
ketua mafia itu
gelap
cermin
kereta dan mata.
Benar perjuangan cukup panjang
Benar lawan tetap lawan
Benar kemenangan pasti datang
Benar rakyat bersatu tak akan dikalahkan
Benar ini reformasi
tApi semah kami tak jadi bersembah
tApi darah kami tak jadi bersimbah
[Keindahan, suatu pencarian, suatu penantian. Menjadi sial dan bebal dalam semabal atau sebal dan sesal tak berpangkal atau cekal dan kental dalam banal tak berpenghujung. Kita tak akan kehilangan apa-apa.]
(ii)
Sementara itu, kuasa yang sementara kerusinya
empuk malas duduknya sebelum buruk dan reput
kepanasan menggelitik
dan jatuh.
Kuasa yang sementara itu
Dengan lahap meratah
Merasa kuat
memalat khianat
Dise balik selubung
Khidmat pangkat yang dijawat
Dise balik kurungan
korporat yang mendarjat
Dise balik bumbung
parlimen yang bocor
disebalik penipuan
pilihanraya yang kotor.
Kuasa yang sementara itu
Melapah yang lemah
Memalit
Lumpur
Menyumpit racun
Merasa hebat
mereka memberatkan yang ringan.
Entahlah, agaknya aku yang terlalu mamai
Serabai melangak melangai seringai
Ke angkasa hanya jiwa melayang.
tApi
terlalu tahukah kita
mahu menjadi penguasa yang maha tahu?
Malu, telah kutelanjangkan kemaluan.
[Jika dapat hasrat yang dicari, jika bertemu dan berjumpa, bersapa dan bersua pada hidup yang indah ini, saat bersua, ahhh betapa indahnya nikmat, ia rahmah yang cukup ramah, jamahlah keindahan itu jika bertemu, kalau bersua, andai menyatu.]
(iii)
Benarlah, engkau punya kebenaran
Benarlah engkau berkorban
Benarlah engkau pikul beban
Benarlah engkau membela, bersuara, berjuang
Dan dipenjara.
6Enam tahun yang berlalu
senja september marah itu kuingat selalu
meski kini hanya tinggal
kenang-kenangan
lagu sayu, sendu mendayu
kemurungan
kecewa dan pengulangan
melalikan niat yang sering lalai,
terkujat, tersadai,
terencat dan terbengkalai.
Berulang kali,
Berulang lagi,
Hari pulang di Sepang
Di bibir manis melekap jari
Menanam ke dalam
Laungan reformasi
Sembunyi terpendam ke dalam diri
Jauh tersimpan di lubuk hati
Tersusun rapi
Ditulis diari.
Nanti, nanti dulu
Tunggu,tunggu dulu
Belum lagi
Tapi bila?
Bila? Bila? Bila? Bila?
Aku mahu cari.
[Kadang ia memang tak hadir sebagai takdir. Kadang ia memang tak datang dalam senang. Kadang ia sayang dan curang. Kadang makmal tak mampu meramal. Kadang waraspun boleh terbabas dan kandas. Kadang ia, “hasrat tak didapat.”Kadang ia birah dan berahi. Kadang ia ghairah dan kelahi. Kadang ia ralit dan gewang. Bergoyang negara, tiangnya 48 tahun cuma.]
(iv)
Senja september rusuh itu,
Lautan manusia berarak
Meraksasa
Demonstran menggila
Dalam
Maniaknya euphoria
Mereka
Menunjukkan sepenuh perasaan
Rakyat murba memburuhkan tenaga gemuruh
Menggegar dan mencabar
Mencakar dan meluluh
Mereka
Turun ke jalan-jalan kota yang keruh
Berlumpur
Hitam.
(v)
Senja itu
Merah marah
Bukan di rumah wajibnya jamaah
Senja itu
Marah merah
Bukan di puncak bukit
Wira menjerit.
[Hidup indah penuh liku, wajah luka, kudis berparut, berkedut takut dan melaut herot. Ribuan korban, ribuan tahanan, ribuan tekanan, ribuan halangan – barangkali – inilah ia indahnya kemerdekaan di tanah emas yang dikebas. Di tanah subur yang ditabur racun. Di tanah hutan tebal yang dicukur pembangunan bangunan. Di tanah pepohon menghijau dibina kota dipuja kereta dipuji duit dipuja buasnya laba dipuji mewah dipuja beli-belah dipuji shopping mall dipuja tanda cap status dan jenama.
Tapi kini, buat ramai orang, merdeka hanya cuti rehat satu hari, setelah tenat memerah keringat, lalu bertenanglah dengan tivi, menghadam realitinya, bersiar di KLCC atau di celah sisinya ke el yang tersisih. Dunia, kian sarat dengan maklumat. Bermunculan sempadan menambah pagar, tembok, jurang dan tambak menebak badan. Kelas yang tambah tebal memisah-misah. Padat internet berselirat jaring menganga, terlalu mudah ia menjerat, hanya dengan cepat ia menyengat.]
(vi)
Di tengah kota lusuh
Inilah wajahnya taman syurgawi
Di laman masjid
Negara
syahid
Yang telah lama
kami tunggu
dengan;
Masin peluh
Gelegak darah
Dan
Tulang
Hitam.
[Kemerdekaan, keindahan yang tak pernah selesai.
Mat Kilau semangatnya berkilau.
Bahaman siap membaham.
Tok Gajah siap menerjah.
Tok Janggut dibunuh penjajah.
Burhanuddin Helmi – tak ada gunung yang terlalu tinggi buat dia daki di tengah terik panas matahari, atau ke lurah yang terlalu dalam buat dia turuni di malam pekat dengan gelap. Dialah putra merdeka.
James Puthucheary sendunya tak berbatas pada kelas, rindunya pada miskin tercaci.
Usman Awang bertongkat warant, memukul musuh kemanusiaan.
Samad Said menyiat-nyiat kenangan zaman perang, mencatat hikayat derita suatu bangsa.
Kajai lucah, seranahnya berkah. Samad Ismailpun lucah, sumpahnya bernanah.
Pak Sako kool, bohemian jujur memegang tukul berontak, apalah guna harta dan pangkat.
Said Zahari kental, 17 tahun dalam penjara, dia kekal cekal, malah memenjara penindasnya – si tua bebal yang kujamin tak akan kekal.
Kamaruzaman Teh, bertahan dalam sengsara, lara dan duka. Kehilangan keluarga, kekasih dan cahayamata. Puluhan tahun perjalanannya dari penjara ke penjara; di belentaralah jiwanya – radikal dan merdeka – perajurit menjerit.
Boestamam merdeka dengan darah, awas apinya belum lagi mati.
Mak Minah, serikandi Lubuk Kawah. Jangan dilupa, sentiasa sedar, selalulah dikenang. Berperang, ditangkap, sepuluh tahun penjara mendapat kerja berat, betapa keringatnya tumpah untuk rakyat.
Rashid Maidin, Chin Peng, Abu Samah, Abdullah CD, Abdullah Sani, Suriani, Shamsiah Fakeh – patriot bergerilya menggugah penjajah, dengan peluru dan darah yang basah.
Lim Chin Siong, komet yang tetap akan datang mengheret keluar manusia liar dari temasek yang cantik.
Kabur tak terteka – Noor S.I, A.S. Amin, M. Ghazali terlalu cepat mengundur, mati muda, tahukah kita di mana kuburnya?
Sureal mimpi Suhaimi, dipinggir sejarah yang terjarah.
Hamid Tuah bukan HangTuah. Hikayat Hamid membuka tanah. Petani meradang – bercucuk tanam, menyemai benih, membuka ladang-
dari Sungai Sireh ke Teluk Gong, suara mereka menggaung.
Abu Zher terkorban dalam hutan, dihukum komrad seperjuangan, tak bertugu tak berpingat, untuk siapa nyawanya kala perbarisan?
Syed Husin tajam menyindir pandir berlendir yang mundar-mandir, cuma masin kata-kata sinisnya, jarang mengundang manis tawa, gelak dan senda; itu ajer. ]
(vii)
Engkau di atas mimbar
Seharusnya telah sedia
Sesetia kami yang telah siap
Untuk kita sama-sama
Hitam
Membakar
Hingga jadi arang!
Tapi itu dulu, enam tahun dulu. Sekarang mula lagi dia meradang.
28 julai 2005 – 29 September 2005
1 comment
Comments feed for this article
June 18th, 2006 at 7:03 am
shara
nape september merah? 11 sep ke? blur kejap